Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Pengawal pecah masuk rumah pangsa, disyaki mencuri barang milik penyewa
Pengawal pecah masuk rumah pangsa, disyaki mencuri barang milik penyewa
Posted on September 29, 2011, Thursday
KUCHING: Seorang pengawal keselamatan disyaki menyalah guna kuasa dengan mengambil kesempatan memecah masuk beberapa unit rumah pangsa dan melakukan perbuatan mencuri sejak beberapa bulan lalu.
Pengawal terbabit menjadi suspek kecurian setelah dilihat di dalam sebuah unit di rumah pangsa Stutong yang disewa oleh tujuh pelajar perempuan sebuah kolej kejururawatan pagi Selasa lalu.
Seorang pelajar yang ditemui berkata dia dan dua rakannya pulang dari kelas sekitar jam 10 pagi dan terlihat pengawal lingkungan umur 20-an berada di dalam unit rumah yang berkunci itu.
Ketika ditanya apa yang dilakukannya di dalam rumah, pengawal terbabit memberitahu pihak pengurusan rumah pangsa mengarahkannya membaiki sinki yang tersumbat.
Percaya dengan katanya, ketiga-tiganya meninggalkan rumah dan pulang sekitar jam 5 petang dan mendapati komputer riba milik salah seorang daripada mereka hilang.
Pelajar-pelajar berkenaan mengajukan rasa curiga mereka kepada pihak pengurusan dan hanya mendapati pengawal terbabit tidak ditugaskan untuk membaiki apa-apa di unit pangsa mereka.
Menurut pelajar terbabit, terdapat beberapa kerja baik pulih yang perlu dilakukan di dalam unit pangsa menyebabkan dia dan rakan sebilik telah meninggalkan kunci pendua kepada pengawal berkenaan mengikut prosedur standard jika terdapat kerja baik pulih dijalankan.
Pelajar terbabit kemudiannya mengetahui rakan mereka yang tinggal di tiga unit rumah pangsa lain turut menjadi mangsa kecurian dalam tempoh beberapa bulan lalu selepas meninggalkan kunci kepada pengawal yang sama.
Bagaimanapun, kecurian dua sinki aluminium dan sebuah komputer riba di tiga buah unit rumah pangsa itu tidak dilaporkan kepada pihak polis kerana pelajar berkenaan tidak pasti dan tidak mempunyai bukti kukuh.
Mangsa terbaru melaporkan kes berkenaan ke Balai Polis Simpang Tiga.
Dalam kes berlainan Selasa lalu, dua remaja ditahan polis selepas ditangkap berdasarkan bukti pada kamera litar tertutup (CCTV) mencuri komponen bermotor.
Insiden berlaku sekitar jam 8 malam setelah pemilik bengkel di Demak Laut pulang ke premis dan mendapati beberapa komponen pada van syarikat hilang.
Setelah melihat pada CCTV, pemilik mengenali penduduk berdekatan yang melakukan kecurian berkenaan.
Pemilik ke rumah suspek dan menyerahkan pencuri kepada pihak polis dan kedua-dua remaja ditahan untuk siasatan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan