Rabu, 30 Januari 2013

CARA-CARA MASAK AYAM PANGGANG MADU

Ayam Panggang Madu

Alhamdulillah, ketika Encik Suami sampai ke rumah petang tadi, Amie sempat menyediakan hidangan makan malam kami merangkap dua sambutan serentak pada hari ini, hari bapa dan hari ulang tahun Encik Suami. Amie panggang seekor ayam seberat 1.7kg. Amie namakan resepi ini sebagai resepi Ayam Panggang Madu. Olahannya mengikut citarasa Amie dengan menggunakan bahan yang mudah diperolehi di dapur.


Resepi : Ayam Panggang Madu
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ayam segar seberat 1.7kg - bersihkan dan tos

Bahan A:
5cm halia - kisar
5 biji bawang putih - kisar
1 sudu makan Sos Ayam Pekat Maggie
3 sudu makan sos tiram
1 sudu makan lada putih - tumbuk
2 sudu makan minyak bijan

Bahan B:
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan sos ayam pekat Maggie
3 sudu makan madu 

Cara:
1. Lumurkan ayam dengan Bahan A dan perap selama 4 jam / sebaiknya perap semalaman di dalam peti sejuk.
2. Panggang di dalam oven dengan menggunakan api sederhana panas - Amie panggang selama 90 minit.
3. Keluarkan ayam panggang, dan sapu dengan Bahan B. 
4. Masukkan kembali ke dalam oven dan panggang dengan api kecil selama 15 minit.
5. Tutup api oven, dan keluarkan.
6. Sedia untuk dihidang.


Seronok tengok anak-anak menikmati hidangan Ayam Panggang Madu bersama Encik Suami yang diraikan. Walaupun cara penyediaannya menggunakan bahan-bahan yang ringkas, tetapi kelazatannya tetap terasa!


Kepada sesiapa yang berminat untuk mencuba resepi Ayam Panggang Madu yang mudah ini, Amie persilakan dengan besar hati. Untuk mendapatkan rasa perapan yang lebih enak sebaik-baiknya simpan di dalam peti sejuk semalaman. Satu lagi, untuk menambahkan aromanya, bolehlah tambah serai  pemerap. Amie suka memanggang menggunakan api sederhana supaya isi ayam masak sekata dan tidak bimbang kalau tidak masak.


Hasilnya.... Ayam Panggang Madu Amie's Little Kitchen yang berkilat-kilat di salut madu lebah dari Kundasang! Amie hidangkan bersama Nasi Ayam Saffron. Insya-Allah dalam entri akan datang Amie kongsikan bersama resepi Nasi Ayam Saffron. Walaupun hari menjelang senja tetapi anak-anak mahu juga Encik Suami meniup lilin dan memotong kek. Anak-anak sudah sediakan tempat untuk Encik Suami di ruang tamu. Alamak... lampu di ruang tamu bukannya terang, malap-malap romantik gitu.... jadi gambar pun tak berapa jelas, sebab tak cukup cahaya!


Amie ulang tayang gambar tengahari tadi di bawah ini untuk gambar Cappuccino Cake yang lebih jelas.


Sekian. Demikian adanya cerita dari Amie's Little Kitchen untuk petang Ahad yang tenang dan damai ini. Hingga bertemu lagi di lain siaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan