Nasi Ayam Saffron & Ayam Panggang Madu
Salam sayang buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen yang dihargai. Sebagaimana yang dijanjikan, kali ini Amie berkesempatan untuk berkongsi menu Nasi Ayam Saffron yang digandingkan Ayam Panggang Madu. Resepi Nasi Ayam Saffron juga Amie olah sendiri dengan menggunakan Stok Ayam Pekat Maggie memandangkan Amie tidak membuat air rebusan ayam. Amie tambah sedikit herba saffron, dan hasilnya terdapat sedikit perubahan pada warna Nasi Ayam Saffron. Manakala sambalnya pula, Amie hanya tuangkan dari botol Sambal Asli ABC.
Resepi : Nasi Ayam Saffron
Sumber : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
3 cawan beras basmathi - cuci dan toskan airnya
1 sudu makan saffron - rendam dengan 1 cawan air panas
3cm halia - hiris halus
3 biji bawang putih - hiris halus
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
3 sudu makan Stok Ayam Pekat Maggie
1 sudu makan minyak bijan
1 cawan marjerin
500ml air
Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus. Sementara menunggu air kukusan mendidih, bolehlah masak beras untuk dipindahkan ke dalam periuk kukusan.
2. Cairkan marjerin di dalam kuali. Tumis halia, bawang putih, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang sehingga wangi.
3. Masukkan beras dan kacar rata.
4. Masukkan Stok Ayam Pekat Maggie, saffron bersama air rendamannya, serta minyak bijan dan gaul rata.
5. Masukkan air dan kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan air mengering.
6. Pindahkan beras yang kembang dan mengering tadi ke dalam periuk pengukus.
7. Kukus selama 15 hingga 20 minit atau sehingga nasi masak.
Inilah hasilnya Nasi Ayam Saffron yang Amie petang masak kelmarin. Amie memang biasa masak cara kukus, jadi tidaklah perlu rasa bimbang sama ada nasi keras, mentah atau lembik kerana terlebih air. Terima kasih kepada Allahyarhamah bonda mentua yang menurunkan ilmu masak nasi cara kukus kepada Amie. Dan di bawah ini pula Ayam Panggang Madu yang dijadikan lauk Nasi Ayam Saffron.
Untuk resepi Ayam Panggang Madu ini bolehlah klik DI SINI. Berdasarkan komen yang Amie baca untuk entri AYAM PANGGANG MADU, Amie ingin kongsi sedikit pengalaman Amie untuk pertama kalinya memasak ayam panggang bulat seekor! Sebelum ini Amie pernah beberapa kali berkongsi ayam panggang tetapi ayam yang dipanggang merupakan bahagian yang sudah dipotong seperti bahagian peha sahaja. Sebelum ini Amie pernah memikirkan mungkin isi ayam tidak masak jika tidak kena cara memanggangnya, tetapi percubaan pertama Amie memasak Itik Panggang DI SINI, membuatkan Amie yakin untuk menghasilkan ayam panggang bulat seekor. Pada mulanya memang rasa berdebar-debar juga, mana tahu bila dipotong, isi ayam kelihatan mentah berdarah! Rupa-rupanya hasil di dalamnya juga seperti yang Amie harapkan! Amie belum berapa mahir dalam bab memanggang ayam dalam oven, dan sebelum ini pun Amie selalu katakan Amie lebih suka mengukus kek berbanding membakar dalam ketuhar kerana kurang kemahiran menjaga api! Untuk Ayam Panggang Madu, Amie panggang dengan api sederhana selama 1 setengah jam, mengeluarkannya semula untuk disapu dengan madu dan kemudian memasukkan kembali ke dalam oven untuk selama 10 minit. Alhamdulillah, hasilnya menjadi dan Amie teruja untuk terus memasak ayam panggang pada waktu yang lain. Amie harap perkongsian sebegini amat berguna terutama untuk rakan-rakan yang belum berpengalaman memasak ayam panggang bulat seekor seperti Amie! Cuma, untuk lebih sedap, ayam yang hendak dipanggang perlu diperap lama seperti memerap sate. Di bawah ini pula, sup yang sempat Amie sediakan untuk dihirup bersama Nasi Ayam Saffron dan Ayam Panggang Madu.
Leher dan kaki ayam bulat seekor itu Amie gunakan untuk masak sup. Selain bahan tadi, Amie tambahkan lobak putih, lobak merah, sayur petola, cendawan shiitake dan juga suun. Mungkin sup ini berbeza dengan sup nasi ayam yang biasa, tetapi inilah olahan Amie yang tersendiri.
Jom... kepada sesiapa yang sudi mencuba, dipersilakan memasak Ayam Panggang Madu atau pun Nasi Ayam Saffron. Dijamin sedap!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan