Ahad, 13 November 2011

SYURGA ALLAH Bukan Tempat Bagi ORANG Yang SOMBONG ingat lah..

SYURGA ALLAH BUKAN TEMPAT BAGI ORANG YANG SOMBONG

solat di mana pun boleh ia perlu bersih bukan kotor dan najis. untuk masuk SYURGA ALLAH

Zaman terus berputar menentukan naik turunnya keadaan seseorang. Yang miskin menjadi kaya, yang rendah pangkat menjadi tinggi jawatannya, dulu orang tak kenal sekarang sudah menjadi terkenal, disanjung dan dihormati kerana status atau kebolehan yang cemerlang di mata manusia. Tetapi bagi mereka yang duduk di atas singgahsana masing-masing, kadang-kadang ia terlalu terpesona oleh dirinya sendiri. Apabila melihat sesuatu yang kurang sempurna, timbul rasa tak selesa kerana diri sudah terbiasa dengan kesempurnaan. Duduk bersama orang-orang yang miskin terasa bosannya, tetapi ada juga yang suka duduk dengan orang yang ‘kurang’ darinya untuk menunjuk-nunjuk ‘kelebihannya’. Bersembang dengan orang yang tidak setaraf baik dari segi ilmu atau jawatan, terasa pelik dan membuang masa. Kerana diri terlalu dikejar oleh impiannya sendiri supaya dapat melompat lebih tinggi walaupun perlu menzalimi orang lain. Biar orang lain perlukan saya, bukan saya yang perlu kepada mereka!
Betapa kasarnya hati orang yang sombong! Dia lupa bukankah dulu dia miskin lalu Allah memberinya rezeki? Bukankah Allah yang meninggikan darjatnya, mengelokkan sebutan namanya di hati dan di bibir manusia? Apakah dia menyangka semua yang diperoleh semata-mata kerana kepintarannya? Kalau begitu, sama saja orang ini seperti Qarun, Firaun bahkan umpama Iblis laknat yang tunjuk pandai di hadapan Allah menolak perintah-Nya. Sungguh merbahaya sifat sombong yang mulai bercambah di hati. Rasulullah SAW telahpun mengingatkan para sahabatnya agar mereka terhindar dari penyakit yang boleh mematikan iman ini. Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat sombong sekalipun hanya seberat debu.” Seorang sahabat bertanya: Sesungguhnya ada orang yang suka pakaian dan kasutnya cantik. Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT itu indah dan suka kepada keindahan. Sombong itu adalah menolak yang haq dan menghina orang lain.” Hadis riwayat Muslim.
Dua isyarat yang tegas telah dijelaskan dalam hadis ini. Pertama tunduklah kepada kebenaran dan syariat yang diatur oleh Yang Maha Pentadbir Alam Semesta. Yang kedua ialah jangan melakukan sesuatu dengan tujuan menghina orang lain atau merendah-rendahkan mereka, atau yang paling halus lagi hilang hormat dan adab di hadapan mereka.
Semakin tinggi kedudukan seharusnya kita bertambah tawaduk ketika membawa diri. Berikut adalah kisah yang cukup mengharukan yang telah mengajar setiap manusia yang hebat agar mereka tidak bermegah dengan kehebatannya. Di dalam kitab Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaqin (Taman Orang Yang Bercinta dan Penghiburan Orang Yang Rindu) karya al-Imam Ibnu al-Qayyim diriwayatkan, pada suatu pagi selepas solat Subuh, Saidina Umar bin al-Khattab RA mencari-cari sahabatnya Amirul Mukminin Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA. Beliau hairan kenapa Abu Bakar setiap pagi pergi seorang diri ke suatu tempat di sudut kota Madinah. Apa yang dilakukannya? Pagi itu Umar RA mengikut di belakang Khalifah. Abu Bakar terus berjalan dan masuk ke dalam sebuah khemah. Tidak lama kemudian beliaupun keluar dan Umarpun masuk. Umar RA bertanya kepada penghuni khemah iaitu seorang wanita tua yang buta. “Wahai hamba Allah siapakah kamu? Orang tua itu menjawab: “Saya adalah seorang yang buta, suamiku telah meninggal dunia dan bersamaku anak-anak yang masih kecil.” Lalu Umar bertanya lagi: “Siapa orang yang datang tadi?” Dia menjawab: “Saya tidak tahu, dia datang setiap hari menyapu rumah kami, menyediakan makanan dan memerahkan susu untuk kami.” Umar RA pun menangis kemudian berkata: “Wahai Abu Bakar RA, kamu telah menyusahkan para khalifah yang sesudahmu nanti.”
Begitulah seharusnya seorang manusia yang merendahkan dirinya kerana kita bukan siapa-siapa dan bukan apa-apa kalau Allah SWT tidak berfirman ‘kun’ maka jadilah kita seperti sekarang. Memang patut apabila Allah SWT membenci mereka yang sombong kerana mereka telah mencabar satu sifat dari sifat-sifat-Nya iaitu sifat ‘al-Mutakabbir’, dan mereka telah memakai pakaian keagungan Allah yang bernama Kemegahan dan Kegagahan. Kebencian Allah SWT kepada si penyombong ini terakam di dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang-orang yang zalim dan sombong akan dihimpun pada hari kiamat dalam rupa semut. Manusia menginjak-injak mereka kerana kehinaan diri mereka di hadapan Allah Azza Wa Jalla.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Adakah wujud manusia yang terlepas dari sifat sombong ini? Jawapannya adalah mustahil. Kita bukan malaikat yang tidak berdosa. Akuilah diri kita ada sifat itu dan buatlah ubat penawar bagi melemahkan ‘kuasa’ kesombongan itu. Antara yang boleh dilakukan ialah;
1. Sombong dari sudut yang zahir seperti kerana paras rupa, nasab keturunan, ilmu, harta, pangkat dan jawatan.
Kesombongan ini boleh diubati dengan cara mengingati tentang kemusnahan segala yang dimiliki suatu masa nanti. Hanya kuasa Allah SWT yang melebihi kehebatan manusia. Bukankah dengan mudah Allah SWT boleh menghancurkan diri kita? Pada setiap kali sujud saat kita mencium tanah, ingatlah betapa rendah dan hinanya diri kita. Dahulu kita adalah ‘sesuatu’ yang belum layak dikatakan makhluk kerana setitis mani yang tumpah itu amat memerlukan pertolongan Tuhannya untuk hidup. Kini ia telah menjadi seorang manusia sombong yang lupa kepada asal usul kejadiannya daripada titisan yang hina.
2. Sombong dari segi amal ibadah seperti suka menunjuk-nunjuk kehebatan amalannya dan merendahkan amal orang lain.
Tahukah anda bahawa syurga bukan ditebus dengan amalan sahaja? Menurut sabda baginda SAW yang bermaksud: “Seseorang dari kalian tidak akan masuk syurga kerana amalnya, dia akan memasukinya kerana rahmat Allah.” Para sahabat bertanya: Dan termasuk Engkau juga wahai Rasulullah? Baginda bersabda: ”Ya, termasuk aku kecuali Allah telah menyelimutiku dengan rahmat-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sesungguhnya rahmat Allah itu akan turun jika kita saling mengasihi. Bagaimana mungkin orang yang sombong memiliki sifat rahmat kepada manusia? Dan apakah ada kemungkinan pintu syurga terbuka luas kepada mereka yang pernah menginjak-injak kehormatan orang lain? Jika kebanyakan manusia membencinya, apakah Allah akan mencintainya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan