Isnin, 7 November 2011

saya sayang tok guru

BERSIH 2.0 : Junjung kasih kepada KDYMM Yang Di-Pertuan Agong – Dari Kota Suci Mekah

Menghadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj.
Bismillahir Rahmanir Rahim – Dengan Nama Allah Yang Amat Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Sukalah patik ingin memaklumkan kepada pihak Tuanku bahawa patik sedang berada di Tanah Suci
Makkah Al-Mukarramah untuk mengerjakan umrah dan Insya-Allah dijadualkan akan pulang ke tanah air
pada 10 Julai 2011. Patik di sini mendoakan agar KDYMM Tuanku serta Raja Permaisuri sentiasa dilimpahi keberkatan yang berpanjangan daripada Allah SWT.
Patik mendengar khabar berita bahawa pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah
diberi ampuni perkenan menghadap KDYMM Tuanku pada petang ini dan menyembahkan tuntutan-
tuntutan ke arah memastikan perjalanan pilihan raya yang lebih bersih dan terjamin ketelusannya. Patik
juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah dinasihatkan agar tidak mengadakan perarakan di tempat
terbuka dan memindahkannya di tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang
aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.
Justeru, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan junjung kasih di atas keprihatinan KDYMM
Tuanku terhadap kehendak rakyat untuk merasai keadilan melalui sistem demokrasi yang telah dijamin
di dalam perlembagaan Malaysia. Sukalah patik mempersembahkan pendirian patik bahawa sebarang
pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihan raya yang adil tidak akan mendatangkan huru-hara
sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain seperti Jepun dan terkini negara jiran iaitu Thailand.
Sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik. Semoga KDYMM Tuanku dan Raja Permaisuri terus dilindungi Allah SWT dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata. Sesungguhnya KDYMM Tuanku adalah umpama ibu-bapa tempat rakyat yang terdiri daripada pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah. Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Raja Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT.
Patik yang menjunjung kasih,
YANG AMAT BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am
Parti Islam Semalaysia (PAS).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan