KAHERAH
- Sejumlah 300 penunjuk perasaan bertempur dengan polis dekat Kedutaan
Amerika Syatrikat (AS) di sini semalam kerana marahkan sebuah filem yang
menghina Nabi Muhammad SAW.
Media
tempatan melaporkan seramai 224 orang cedera sejak keganasan tercetus
di ibu negara Mesir itu di sini sejak Rabu lalu kerana membantah filem
biadab itu.
Satu
tunjuk perasaan besar-besaran kemudian diadakan di seluruh Mesir
semalam. Protes tersebut dianjurkan oleh pergerakan Islam terbesar di
negara itu, Ikhwanul Muslimin.
Kira-kira 5,000 penunjuk perasaan di bandar Khartoum, Sudan menyerbu Kedutaan Britan dan Jerman ekoran filem tersebut.
Kedua-dua kedutaan itu dibakar dan mengalami kerosakan, kata seorang wartawan agensi berita AFP.
Para
penunjuk perasaan turut bertempur dengan polis di Yemen menyebabkan
seorang meninggal dunia manakala 15 lagi cedera apabila perkarangan
Kedutaan AS di negara berkenaan diserbu kelmarin.
Filem
anti-Islam, Innocence of Muslims dipersalahkan berhubung serangan ke
atas konsulat AS di bandar Benghazi, timur Libya yang meragut nyawa Duta
AS, Chris Stevens dan tiga warganegara kuasa besar itu pada Selasa
lalu.
Di
Nigeria, polis negara itu diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga
manakala tahap keselamatan di sekitar kedutaan asing turut
dipertingkatkan.
Tindakan
tersebut dilakukan selepas kumpulan Islam Boko Haram membunuh
beratus-ratus orang dalam penentangan yang tercetus di Nigeria pada
tahun ini.
Bantahan
turut diadakan di wilayah Palestin dengan beribu-ribu orang berkumpul
di Genting Gaza manakala ratusan yang lain berhimpun di Baitulmuqaddis.
Kumpulan penunjuk perasaan berkenaan bertempur dengan polis Israel di Baitulmuqaddis.
Di
Gaza, penunjuk perasan mengibarkan bendera Hamas dan pergerakan Jihad
Islam serta membakar beberapa bendera AS sambil melaungkan slogan
meminta as dan Israel dihapuskan.
Di
Pakistan, beratus-ratus orang menunjuk perasaan di beberapa bandar raya
utama di negara berkenaan untuk mengutuk filem Innocence of Muslims
dengan sebahagian mereka mahukan penerbit filem tersebut dibunuh.
Sebahagian lagi penunjuk perasaan menuntut supaya diplomat-diplomat AS di Pakistan diusir.
Di
bandar Lahore, timur Pakistan, ketua pertubuhan amal Jamaat-ud-Dawa,
Hafiz Saeed mengetuai protes yang disertai oleh 500 orang bagi membantah
filem tersebut.
AS sebelum ini menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM31.1 juta) ke atas Hafiz.
Dia menggesa pemerintah Pakistan supaya memanggil Duta AS bagi membantah filem anti-Islam itu.
"Kami
mengutuk konspirasi menerbitkan filem anti-Islam ini. Tindakan keji ini
merupakan konspirasi antarabangsa dari AS dan kami tidak akan
menerimanya," kata Hafiz dalam protes tersebut.
Selain
Pakistan, bantahan turut merebak ke seluruh Asia Barat termasuk
Bangladesh, Indonesia, Malaysia, Kashmir, Iraq, Israel, Kuwait, Sudan
dan Tunisia. - Agensi