Admin | 7/01/2013 |
BUKIT MERTAJAM – Penceramah bebas, Mohd. Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim mendedahkan ada pemimpin politik di beberapa negeri cuba menyekat program ceramahnya dengan mengeluarkan arahan supaya ia dibatalkan.
Lebih menyedihkan dakwanya, arahan tersebut datang daripada pemimpin politik beragama Islam dengan alasan, ia boleh menggugat kedudukan kerajaan negeri.
Dalam kes terbaharu dakwanya lagi, program ceramah perdana yang dijadualkan berlangsung di satu lokasi di sini pada 5 Julai ini telah diarahkan supaya dibatalkan atas arahan seorang Exco kerajaan negeri.
“Saya hairan, program ini telah dirancang sejak tiga bulan lalu. Secara tiba-tiba penganjur beritahu, mereka diarahkan supaya dibatalkan pada saat-saat akhir kerana saya merupakan salah seorang penceramah pada program tersebut.
“Apa yang menyedihkan, arahan tersebut pula datang dari seorang Exco beragama Islam, sepatutnya dia menyokong dan memberi galakan supaya program keagamaan seperti itu diperbanyakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Pengajian Darul Wehdah di Kampung Kubang Ulu.